Friday, September 20, 2013

Aku Ni Isteri Dia! - Bab 4

Posted by Mommymam at 9:49 PM

Bab 4

Hari ni sangat membosankan bila kawan makan aku cuti hari ni. Si Diva debom! Biarpun dia gedempol sihat walafiat, tapi hati dia baik. Sangat kelakar. Dan tiba - tiba pulak si Tina gedik ni ajak aku keluar makan bersama pulak. Yang peliknya, makan petang. Dah nak balik kerja dah kot. Aku tak ada hal makan petang ke pagi ke malam ke, tapi ada hal pelik kalau dia yang ajak makan petang pulak tu. Kalau makan pagi, aku okay lagi. Tapi, lantaklah. Aku malas nak fikir kenapa dan mengapa. Aku layankan je. Prinsip aku, selagi orang buat baik dengan aku, selagi tu aku sentiasa baik. Asalkan, jangan kacau hidup aku. Kalau tak,nahas!

"Awak, nanti awak jangan terperanjat tau kalau ada orang lain yang makan dengan kita..." kata Tina bila kami duduk di meja makan sambil meletakkan makanan yang telah kami pesan tadi. Aku buat muka pelik. Ek? Orang lain? Maksudnya? Dalam hati aku je tanya.

"Okay. Tak kisahpun. Ada ajak member lain ea?" balas aku pendek sambil menadah tangan berdoa. Sedap betul bau nasi goreng ikan masin ni. Berkeroncong terus perut aku.

" Aah...nanti kita kenalkan dengan awak...." Tina menjawab sambil tersenyum manis.

Aku mengangguk, mengiyakan saja kata - kata Tina tu sambil memerhatikan gaya percakapan Tina gedik ni.Kalau lelaki tengok muka dia ni, mesti ramai terpikat kan? Yela, gaya jawab pun ala - ala lembut ayu gitu. Tapi aku? Jujur, lurus, selamba dek je jawab. Tak adanya lah,aku nak gaya - gaya sopan perempuan melayu terakhir.

Sedang makan dengan rancaknya, tetiba ada suara garau memberi salam. Berdiri terpacak di depan aku dan berada di sebelah Tina. Aku mengangkat muka sambil menyuap nasi ke mulut, melihat siapakah manusia yang memberi salam ni. Dia ke kawan Tina maksudkan? Sekali ku angkat muka, tercekik sekejap makanan yang ada dalam mulut aku. Gulp! Khairul? Berkelip mata aku dua kali.

" Awak...kenalkanlah. Ni pakwe kita,Khairul. Abang, kenalkan...ini Mira. Kawan sekerja kita." Tina memperkenalkan kepada aku. Aku senyum macam biasa dan mengangguk. Tapi dalam hati, menyumpah seranah. Kenapa manusia ni yang aku jumpa? Kecilnya dunia ni ataupun aku yang besar? Ish, tak suka nya aku.

Khairul pun duduk berhadapan dengan aku. Dia pun berlagak seperti biasa seolah - olah tak kenal aku jugak. Ah, lantak kau lah. Aku peduli apa kan. Yang pasti, aku nak bagi dia satu 'warning'.

" Abang nak makan apa? Kita pergi orderkan..." Tina melayan baik kekasih hati dia tu. Aku naik berbulu telinga aku ni walaupun tak ada bulu dalam telinga.

"Hmm...orderkan abang sama dengan awak lah..."
Huh! Konon romantik la tu. Aku dengarkan saja perbualan diorang ni. Tina bangun berlalu ke gerai makanan di Food Junction. Aku meneruskan saja aktiviti makan aku. Ohhh, baru aku terfikir. Patutlah minah katik ni beriya - iya ajak aku makan sama petang ni. Rupanya, nak menunjuk lah yang dia ada pakwe da. Sebab minggu lepas dia ada tanya aku, ada pakwe ke tak. Cettt! Sabar je la si gedik ni.

" Tak sangka kita boleh jumpa kat sini ye? " Khairul sudah mula bersuara. Aku terus mengangkat muka memandang wajah dia. Silap hari bulan lah, kau jumpa aku kat sini!

" Aku nak ingatkan kau satu perkara, jangan sampaikan hal aku kat sini pada Razman. Aku tak suka dia tahu dan ambil tahu hal hidup aku lagi. Faham kan, maksud aku?" aku memandang sinis muka Khairul. Berubah air muka Khairul. Baru nak mula berborak baik, dah kena sembur dengan aku. Kesian...

"Kau masih marahkan aku lagi ke?" soal Khairul yang berkerut dahinya. Sorry man, aku tak percaya muka kau lagi.

" Dahlah Khairul. Aku tahu kau tali barut si Razman tu. Dulu, aku tanya kau sungguh - sungguh betul atau tak Razman ada affair dengan perempuan lain? Tapi, kau bersungguh cover baik si Razman kaki perempuan tu. Pandai kau kan. Tergamak kau kan, tengok aku sebagai kawan kau kena tipu dek lelaki tu. Sorry lah. Aku tak percaya pada kau lagi. So, aku harap. Kau tunaikan permintaan aku ni. Jangan beritahu Razman apa - apa lagi tentang hidup aku kat sini. Faham? " aku memandang Khairul dengan wajah serius. Aku naik baran bila teringat kes dulu. Bagi aku sekarang ni, hidup aku aman damai. Lebih - lebih lagi, aku dah pun tukar nombor telefon aku. So, Razman dah tak boleh nak contact aku lagi. Menyemak!

"Maafkan aku Mira...Bukan macam tu maksud aku...aku"

" Hai...borak rancak nampaknya. Borak apa?" Tiba - tiba Tina mencelah entah bila masa dia sampai di sini. Terberhenti Khairul untuk meneruskan ayatnya.

" Dah lah Tina. Aku balik dulu ye, aku ada hal pulak. Lagi pun, tak best lah nak kacau daun orang nak berasmaradana kan..." aku senyum sambil mengenyit mata pada Tina. Tina terpinga sekejap muka dia. Mungkin tak puas hati nak mencemburukan aku dengan hidup dia yang berkasih mesra depan aku. Kebetulan telefon bimbit aku berdering. Cha! Kau lah penyelamat aku.

" Okay, bye Tina. Aku pergi dulu ye. Chow! " aku bangun sambil melambai meninggalkan mereka berdua. Tina hanya senyum mengangguk lemah. Khairul pula memandang aku pelik. Mungkin dia nampak, aku sudah pun berubah. Tidak seperti dulu, nampak sangat kelurusan dan kebendulan aku di zaman universiti.

Aku terus berlalu  sambil menjawab panggilan Cha. Syukur sangat dalam hati, Cha sudah pun menunggu aku di hadapan pintu utama shopping complex. Terselamat aku dari menghadap sepasang dua merpati berjoli. Betul ke ayat aku ni? Hahaha...lantaklah. Dua merpati sejoli lah...hahaha, tergelak aku seorang diri sambil berjalan laju menuju ke luar pintu utama. Mana kereta si Cha ni? Kata dah tunggu depan pintu utama. Yang ada depan pintu sekarang ni, kereta Kelisa hitam.

Aku menoleh kiri kanan aku, tercari - cari kereta Viva putih Cha. Tak ada pun. Aku melihat deretan kereta yang parkir di bahagian parkir kereta depan pintu utama. Viva, Myvi, Mercedes, BMW, Viva hitam. Mana kereta Cha ni? Kereta Kelisa hitam tu ada lah, asyik bunyikan hon saja dari tadi. Eh, dia ke dalam kereta tu? Cermin kereta 'tinted' gelap pulak. Tak nampak pulak siapa yang ada dalam kereta Kelisa hitam tu. Telefon bimbit aku berdering. Dengan pantas aku menjawab.

" Mana kau? Menipu aku ye?" sergah aku.

" Aku ada lah. Mana tipu pulak. Ni, dalam kereta Kelisa hitam ni. Penat aku hon. " jawab Cha.

Hampeh punya makcik! Aku matikan talian telefon terus aku berjalan menuju ke Kereta Kelisa hitam tu. Aku terus buka pintu sebelah pemandu. Eh!

"Kau duduk belakang lah makcik..."jawab Cha. Aku menundukkan sedikit kepala aku, menjenguk siapakah gerangan yang memandu kereta ni kalau bukan Cha. Hmm? Lelaki mana pulak ni yang Cha bawa. Ah, masuk je lah dulu dalam kereta.

"Beb, kau ikut kitorang pergi makan lah ye. Lepas tu, driver kita ni hantar balik." Cha menoleh ke belakang memandang aku meminta persetujuan aku. Aku hanya senyum dan mengangguk. Tak kisahlah Cha, aku ikut je asal kau ada. Aku rasa selamat. Tapi mamat mana pulak yang dia bawa ni. Hari ni, asyik terjumpa lelaki yang tak disangka je. Tadi Tina bawa Khairul. Ini Cha pulak, bawa lelaki mana entah ni. Risau jugak aku sebenarnya.

" Jangan risau. Saya tak culik awak pun..." lelaki si pemandu Cha bersuara sambil memandang aku melalui cermin pandang belakang.

Alamak! Macam mana dia tahu isi hati aku yang risau ni. Dia pandang dari tadi ke?Aiseyman...kantoi perasaan lah muka aku ni. Aku hanya membalas dengan senyuman. Aku memang terus jadi pendiam kalau berdepan dengan orang asing macam ni. Aku lebih suka memerhati dan mendengar saja. Cha sangat faham dengan aku. Tapi, Cha macam biasa.  Berceloteh dan bercerita. Aku? Cuma dengar tak dengar je perbualan diorang. Aku memandang ke luar tingkap sambil melayan pemandangan kala petang. Kosong pandangan aku. Dunia oh dunia....

"Tuan puteri...kita da sampai dah. Jemput turun tuan puteri...." jemput lelaki pemandu Cha sambil menoleh ke belakang memandang aku sambil tersenyum.

Eh? Bila masa dah sampai ni? Sekejapnya? Ke, aku yang mengelamun lama sangat? Aku hanya membalas dengan senyuman. Senyuman hambar. Kosong. Aku turun dari kereta, dengan pantas aku berjalan di sebelah Cha. Aku bukan penakut, tapi aku kurang selesa berada bersama lelaki yang aku tak kenal siapa. Ishhh, bukan jenis aku lah yang peramah dengan lelaki. Sebab tu, kawan - kawan lelaki aku satu kos dulu cakap aku ni sombong kalau diorang tak kenal aku siapa. Bila dah kenal, dah berkawan, baru tahu aku ni banyak cakap.

" Nak makan apa? Cepat, aku belanja..." kata pemandu Cha sambil menjemput aku dan Cha duduk di meja makan di dalam pondok yang cantik tempatnya.

Baru minggu lepas aku cakap dengan Cha, kan best kalau dapat makan di restoran pondok ni. Aku panggil restoran pondok, sebab tempat makan pelanggan di restoran ni semuanya di dalam pondok yang beratapkan atap rumbia. Sangat klasik dan cantik. Sejuk mata memandang. Berhiaskan pokok- pokok renik. Ada jugak pondok yang dibina di atas pokok. Sangat best! Aku suka atas pokok tu. Hep! Aku bukan monyet ya. Maksud aku, aku suka nak try makan kat pondok atas pokok tu. Mesti sejuk je kat atas tu. Tapi, si pemandu Cha ni dah pilih pondok tepi kolam ni. Apa nak buat. Bersyukurlah wahai umat! Orang dah bawakan ke sini pun, dah cukup bagus.

"Woi, makcik! Ko nak makan apa?" Cha menepuk tangan aku. Eh, hehehe, dari tadi aku sibuk tengok tempat keliling ni ye.

" Hmm...bagi saya garlic bread and mushroom soup lah. " aku memesan sambil memandang pelayan tu. Wah, siap pakai kemeja putih berseluar hitam. Bergaya lagi pelayan kat sini. Mesti mahalkan kat sini. Perempuan pun sama. Mata aku melilau melihat keadaan di sekeliling aku.

" Air cik?" tanya pelayan tu lagi.

"Hmm...bagi saya nescafe panas ye..." jawab aku sambil tersenyum. Cha  memandang muka aku. Aku hairan.Salah ke apa yang aku order?

" What?"
" Beb...takkan itu je yang ko nak makan? Order banyak - banyak, yang mahal - mahal, orang belanja kan..." Cha menjawab dengan wajah beriya dan tersengih. Aku senyum. Jadi serba salah. Tak baik tikam duit orang ni Cha.

"Tak apa lah Cha. Aku dah kenyang. Tadi aku dah makan Nasi Goreng ikan masin dah...." aku menerangkan pada Cha sambil sekali pandang pada lelaki pemandu Cha ni. Dia hanya tersenyum memerhatikan gelagat Cha. Cha memang bising mulutnya, peramah lah katakan. Tapi, baik hati. Mulut je becok.

" Ko dah makan? Makan dengan siapa? " tanya Cha kehairanan kerana aku dah makan petang.

" Hmm...dengan gedik..."aku menjawab malas.

" Dah dik...tu je, jangan lama - lama kat sini. Kang, habis semua makanan makcik ni nak order. Terima kasih ye dik." pemandu Cha memberitahu kepada pelayan itu. Kesian dia, terpaksa tunggu layan kerenah pelanggan yang macam - macam perangai ni.

" Apasal gedik tu ajak ko makan petang - petang macam ni? " Cha memandang muka aku tak puas hati. Eh, over pulak makcik ni.

" Alaaa....dia nak tunjukkan pada aku, yang dia ada pakwe." balas aku lemah. Boring la, layan gedik bermasalah hati tu.

" Hah? Itu je sebabnya? "
" Hah! Baru aku teringat, pasal pakwe gedik tu...tapi...nantilah...balik rumah nanti aku cerita..." terbantut aku nak mengadu pada Cha bila terpandang ada pemandu Cha ni. Malas aku nak cerita depan orang yang aku tak kenal.

" Okay,okay...ni aku kenalkan ko, kawan sepejabat aku. Dzal Aidi. Di, dia ni pulak bestfriend aku, Qis. " aku hanya senyum menganggukkan saja tanda salam perkenalan.

" Qis? Kissme?" soal Dzal Aidi sambil tersenyum nakal. Nak mengusik la tu. Lelaki...
Aku hanya menggelengkan kepala. Cha yang menjawab bagi pihak aku.

" Banyak lah kau punya kissme. Nama dia Almira Qistina, panggil Qis je."

" Nama panjang tapi panggil pendek je? "

" Ala, apa bezanya nama ko dengan dia. Nama ko pun panjang, panggil Adi..eleh..." Cha melawan bagi pihak aku. Kalau bab melawan, memang serah pada Cha la. Melawan bab - bab mengarut ni.

Dzal Aidi hanya gelak saja melihat Cha melawan kata - kata dia. Dzal Aidi, sedap jugak namanya. Macam jenama tudung Aidijuma pulak, hehehe..Dah, jangan mula nak kutuk nama orang, Qis.

" Beb...cepatlah cerita dengan aku. Apa kisah ko sebenarnya...? Macam mana kes ko sebenarnya? " Cha memandang muka kawan sepejabatnya tu. Aku? Aku pandang Cha yang duduk di sebelah aku dan sekejap aku pandang muka Adi. Kes apa pulak ni? Kisah apa pulak ni?

" Hmm...macam mana aku nak mulakan hah? Aku malas dah nak ungkit kisah lama ni..." Dzal Aidi mengeluh sambil memperbetulkan kedudukkannya lalu bersandar ke dinding. Tempat makan restoran ni memang best, sebab meja makannya ala - ala meja Jepun. Kita duduk kat pondok ni, nak gaya makan macam mana pun tak kisah. Nak bersila ke, nak duduk lutut angkat sebelah ke. Lantaklah, asal ko selesa. Jangan ko nak menyangkung sudah.

" Ala...cerita je la. Aku rasa tak best la, ko kawan aku tapi aku dengar cerita hal ko dari mulut orang lain. Faham, faham je la...mulut orang tambah perisa bagi sedap..." pujuk Cha lagi.

Cha ni, memang kawan yang baik. Dia pendengar yang setia. Aku hanya mendiamkan diri memandang wajah Dzal Aidi yang mula berubah. Daripada ceria kepada muka malas, menyampah nak cerita.

" Hmm...okaylah. Macam ni...aku cerita. Sebab, aku anggap ko memang kawan aku. Aku tengok air muka korang berdua je, aku boleh baca. Korang berdua ni muka baik la..." Dzal Aidi bersuara akhirnya setelah mendiamkan diri beberapa minit. Cha mengangguk suka. Minat betul Cha. Best sangat ke kisah dia ni? Nak dengar la jugak, apa yang best.

" Aku dengan dia, dah bercinta hampir tiga tahun la. Lebih kurang. Hmm...sampai masa, gedebak, gedebuk, kitorang bertunang. Setahun la bertunang. Lepas tu, kitorang kahwin...sampai masa hari pernikahan tu. Dia masih ada lagi pada malam tu. Ye la, majlis nikah dah tentu diadakan di rumah pihak perempuan kan. Malam tu,semua ahli keluarga dia masih sibuk lagi. Aku pun sibuk jugak melayan ahli keluarga dia. Sampai masa, aku cari dia. Dia hilang.."

" Hah? Hilang?Hilang macam tu je? Macam mana boleh hilang macam tu? " Cha dah mula menyoal banyak. Aku pun ternganga kejap mulut aku. Dzal Aidi memandang aku memberi isyarat agar tutup mulut. Aku cover malu kejap. Yela, mana tak pelik. Dia ni dah kahwin rupanya, tapi gaya macam orang bujang. Tapi, dia tu siapa? Isteri dia? Isteri dia yang hilang? Kenapa? Banyak persoalan yang bermain di minda...sempat lagi nyanyi lagu Najwa Latif, huhu...

" Ye...hilang. Hilang melarikan diri. Kalau ko kat tempat aku, menggelabah tak? " sambung Dzal Aidi lagi.

" Mahu tak gelabah nya, tetiba hilang. Habis tu, malam tu ko carila merata tempat?" soal Cha. Aku mengangguk sama, sama soalan aku nak tanya. Menyibuk pulak aku ni.

" Yela, aku mencari keliling rumah, seluruh tempat, dua kali aku mencari dalam bilik dia. Kali kedua, baru aku terperasan ada satu nota kecil bertampal pada almari baju dia. "

" Hah, nota kecil? Dia tulis apa?"

" Dia tulis...dia minta maaf. Dia tak dapat teruskan. Senangkan?"

Aku dan Cha ternganga mulut sekejap. Tak faham, tak faham. Apa yang berlaku sebenarnya ni?

" Jap beb, jap...aku tak faham. Ko dengan dia ni bercinta kan? Kan? Habis tu, kenapa dah bernikah, dia hilangkan diri pulak? Macam kahwin paksa pulaknya dah. Habis tu, family dia cakap apa,bila dah jadi macam ni? " soal Cha.

" Family dia tentu lah sedih, anak dia buat macam ni. Memalukan family kan...." Dzal Aidi menarik nafas panjang. Nampak dia tak selesa nak bercerita hal ni. Kebetulan, makanan yang kami order telah pun sampai. Kami semua diam sebentar menunggu pelayan tu berlalu dari pondok kami.

" Habis tu, ko macam mana masa tu? Ko ada cari dia? " sambung Cha sambil mencapai gelas jus orennya. Aku pun, menghirup air Nescafe panas aku.

"Aku? Aku sedih, malu, marah, macam - macam perasaan ada masa tu. Tapi aku tenangkan diri je. Family dia, asyik minta maaf dengan aku je dengan apa yang terjadi. Aku malam tu, terduduk sekejap termenung bila baca nota yang dia tulis tu. Aku berfikir sekejap. Aku imbas balik saat - saat tempoh bertunang tu. Lepas tu, baru aku tenang. Aku teringat kes permintaan dia nak ke luar negara. Dia dapat offer job, di UK. Dia nak perkembangkan kerjaya dia sebagai model di luar negara pula. Aku tak bagi. Untuk apa? Dia dah nak jadi isteri aku. Aku kena bertanggungjawab atas dia dari segi apa pun. Disebabkan tu, dia tinggalkan aku pada hari tu. Dan aku ingat lagi, hari keesokkannya tu sebenarnya memang flight dia ke UK..." terang Dzal Aidi lagi. Aku berkerut dahi mendengar kisah dia. Nak tanya, malu pula. Siapa aku nak menyibuk hal dia? Diamje lah...Baik makan mushroom soup ni.

" Ko ni...kahwin dengan orang mana ni sebenarnya? Kahwin dengan siapa dia tu? Kerja apa bini ko tu? Eh? Masih bini ko lagi ke dia tu? "  Cha menyoal panjang lebar. Soalan Cha, sama dengan soalan yang ada dalam kepala otak aku ni.

Dzal Aidi tergelak. Sambil ada sisa - sisa baki gelak, dia menjawab.

" Dia dulu kerja ofis di sebuah syarikat swasta, tapi dalam masa yang sama dia jadi model sambilan. Thats why, dia nak sangat ke UK tu, kononnya nak perkembangkan kerjaya dia sebagai model lah. Disebabkan aku tak bagi lah, dia buat keputusan macam ni....  "

" Ooh, kiranya ko kahwin dengan perempuan ala model lah ni...patutlah..." Cha memerli Dzal Aidi sambil mencebik. Dzal Aidi hanya tersenyum. Dia fahamlah tu, Cha mengejek dia.

" Habis tu, ko tak kejar ke bini ko tu? Cari dia kat UK ke? Tak ada?" soal Cha lagi.

"Hmm...setahun aku kumpul duit Cha semata - mata untuk cari dia kat sana, tapi kebetulan kawan aku nak ke sana. Aku minta tolong kawan aku cari dia kat sana, tolong tengokkan. Betul tak dia kerja kat sana, Macam mana life dia kat sana...cari punya cari, akhirnya kawan aku jumpa jugak dia kat sana..." Dzal Aidi mengeluh perlahan. Air milo ais disedutnya.

" Tapi...UK tu kan besar. Macam mana pulak kawan ko tu boleh cari dia? " Cha menyoal sambil mengunyah.

" Laa...mesti la aku da dapatkan maklumat dia kat sana daripada sumber - sumber yang boleh dipercayai..."

"Ohh...habis tu. Kawan ko jumpa dia, cakap apa? Ko tak suruh dia balik pada ko ke? Dia tak ada hubungi ko langsung?" Macam detektif betullah Cha ni. Aku tersenyum sendiri melihatkan cara Cha menyoal Dzal Aidi.

" Untuk apa dia balik dengan aku? Dia dah ada lelaki lain kat sana. "

" Hah? Yeke.?" aku dan Cha macam tak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Dzal Aidi. Dzal Aidi hanya senyum lemah dan mengangguk.

"Dah tu, ko buat apa? Eh, tapi betul ke dia ada lelaki lain? Entah - entah kawan kerja ke?"

"Weiii...aku bukan jenis lelaki yang terburu - buru buat keputusan la. Aku bukan jenis lelaki yang tak siasat dulu sebelum bertindak. Kawan aku tak jumpa pun dia berdepan, kawan aku terserempak dengan dia yang sedang bercumbu dengan lelaki lain. Aku terus pergi ke sana bila dapat tahu hal tu tau. Aku nakkan kepastian. Aku pergi ke kediaman dia. Memang dia bersekedudukan dengan lelaki lain. Mata aku ni yang tengok sendiri. Ko bayangkan hati aku saat tu macam mana?" jelas Dzal Aidi. Aku nampak jelas di mata Dzal Aidi, kecewa yang teramat sakit.

Aku dan Cha terdiam sejenak. Memikirkan pengalaman Dzal Aidi. Tak disangka, ada orang terima nasib ini. Malah lebih teruk nasibnya dibandingkan dengan aku. Bersyukurlah Qis, hidup ko jauh lebih baik.

" Pada mulanya, aku redha dan izinkan jugak dia ke sana walaupun dia pergi tinggalkan aku macam tu je, tanpa keizinan dari aku. Tapi, bila aku dapat tahu hal dia sebenar kat sana. Aku terus ambil tindakan. Aku lepaskan dia. Biarlah dia bebas daripada dia menanggung dosa,kan? Ye tak?. "

" Ko ceraikan dia? Dia tahu tak?"

" Mestilah tahu, aku dah lepaskan dia. Aku buat laporan pada pejabat agama, hukumkan dia sebagai nusyuz. Aku serta kan bukti semua. Dia tak nak balik Malaysia untuk hadir ke mahkamah. Jadi, family dia yang bayar denda sebab dia enggan hadir ke mahkamah. Dia hanya setuju dan tandatangan dokumen yang menyatakan penceraian kitorang. Semuanya, kawan aku yang ada kat sana lah berurusan dengan dia. Jadi perantaraan dan pengutus hal ni." Dzal Aidi bercerita tenang sambil tersenyum.

" So, sebenarnya dah berapa lama ko menduda ni? Orang lain, especially orang - orang kat ofis kita tu tak tahu lah yang ko ni duda?"soal Cha.

Dzal Aidi mengangguk. " Ramai yang tak tahu. Yang tahu, kerani yang jaga fail peribadi kita tu la. Kak Bedah. Dia tahu status aku. Tapi akak tu bukan mulut tempayan, kecohkan hal orang."

" Oohhh...kira nya dah lama ke ko menduda ni? " tanya Cha lagi.

" Ala Cha...dah tujuh tahun aku menduda. Cerita ni pun dah lapan tahun dah berlalu. Sebab tu aku malas nak bercerita." Dzal Aidi meneruskan menjamu makanan yang dipesannya.

" Ohh...ni duda berhias la ni ye..." tetiba pulak aku menjampuk. Ops!

Dzal Aidi dan Cha tergelak. Aku tersengih je. Tersebut pulak macam tu.

" Aah...duda berhias ni. Kenapa? Nak ke?" Dzal Aidi mengusik aku.

Aku mencebik sambil menggeleng. Cha terus menyampuk.

" Dah, tak payah ko nak test market ko dengan kawan aku ni. Ko tu buaya! Bukan boleh percaya! " sergah Cha pada Dzal Aidi. Hah? Buaya? Aku berfikir kejap.

" Eh, aku buaya bukan sebarang buaya tau. Aku buaya bukan Bujang Senang. Tapi aku buaya Duda Senang!" Dzal Aidi berseloroh sambil tergelak - gelak. Aku dan Cha pun turut tergelak. Tapi dalam otak aku berfikir, dia masih lagi ceria dan tergelak - gelak macam ni walaupun ada kenangan hitam disebalik hidupnya. Hebat!

Setelah kami menghabiskan makan petang kami dan bersembang pelbagai topik lain pula hingga hampir ke maghrib. Kami pun dihantar pulang ke pejabat Cha semula untuk ambil kereta Cha di sana. Cha menghantar aku pulang ke rumah. Sepanjang dalam perjalanan pulang, Cha bercerita dengan aku kenapa dia nak tahu kisah sebenar Dzal Aidi. Ramai orang di tempat kerja Cha bersoksek - soksek hal Dzal Aidi ditinggalkan isteri sebab Dzal Aidi tak mampu nak tanggung isteri. Almaklumlah, keluarga isterinya tu,eh bekas isterinya tu dari keluarga yang agak berada.  Ada ke macam tu? Ya Allah, begini kah hidup duniawi? Aku beristighfar mendengar cerita Cha. Disebabkan Dzal Aidi salah seorang kawan rapat Cha, Cha tak nak dengar dari mulut orang lain. Disebabkan tu lah, Cha bertanya terus terang lebih baik pada tuan empunya diri.

Aku pun tak lupa ceritakan pada Cha tentang Khairul. Cha turut terperanjat dan tak sangka si Khairul boleh jadi pakwe si Tina gedik. Aku ceritakan juga tentang warning aku pada Khairul. Tapi kata Cha, boleh percaya ke Khairul tu? Ye tak ye jugak kan? Apa aku nak buat kalau Khairul mungkir janji? Langgar je warning aku tu. Biar lah, kita tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi selepas ni. Namun, sekarang ni dalam kepala otak aku dan lubang telinga aku, terngiang - ngiang cerita dari Dzal Aidi. Tetiba suara hati kecil aku berkata, apa lagi Qis? Dia duda dan dia jugak buaya. Ko kata, ko nak cari yang duda dan buaya lepas ni? Ishhh, aku main - main je lah. Diam lah hati! Malam tu, aku cuba lelapkan mata. Jangan fikirkan hal Dzal Aidi. Jangan termasuk dalam mimpi dah lah. Hehehe...

***Bersambung***

0 comments on "Aku Ni Isteri Dia! - Bab 4"

Post a Comment

Semua Readers Novel Deheartygurl yang dikasihi...sila lah komen ye...

 

DeHearty Gurl Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal