Tuesday, September 24, 2013

Aku Ni Isteri Dia! -Bab 5

Posted by Mommymam at 3:21 AM

Bab 5

Eeeiii! Aku rasa sakit hati sangat lah. Kalau dia ada kat depan mata ni, aku nak lempang - lempang mulut dia sampai terbang. Ada ke dia ceritakan kisah aku dengan lelaki tak guna tu pada si Tina gedik ni? Ada ke patut?Aku tahu lah Tina tu makwe kau. Takkan lah hal aku pun kau nak story mory dengan buah hati kau jugak.  Aku tak suka betul orang luar tahu hal hidup aku. Aku benci betullah. Tina tu dah lah menggedik. Bila dia dapat tahu kisah aku tu, dia macam mengejek kasihan dengan muka aku pulak. Padan muka, muka je cantik tapi akhirnya kena tinggalkan pakwe juga! Macam tu lah maksud dia senyum sinis dengan aku. Eeiii! Geram, sakit hati ni. Makin laju jalan aku menuju ke pintu utama shopping mall. Niat di hati nak makan kat warung depan tu. Makin lapar aku dibuatnya bila marah macam ni.

Eh, dengar macam ada orang panggil nama aku je. Siapa pulak yang panggil aku Qis ni? Pekerja - pekerja kat shopping mall ni hanya kenal aku  sebagai Mira. Bukan Qis. Sekali ku toleh ke belakang, mak ai!  Duda Senang!Tak kerja ke dia? Nak makan tengahhari ke ni? Aku melihat sekilas jam tangan aku. Memang waktu lunch.

"Hai...laju jalan. Nak ke mana?" soal Dzal Aidi yang datang menghampiri ku.

Aku tersengih mengawal perasaan marah. Alahai...dia ni. Nampak 'hensem' lah pulak...sejuk hati yang marah ni.i

" Nak makan. Tak kerja ke?  " jawab aku perlahan.

"Kerja. Tadi tu, baca doa makan ke?"

Hah? Doa makan? Alamak! Dia nampak mulut aku terkumat -kamit seorang diri lah tu tadi. Malu nya. Aku hanya sengih. Cukup untuk jawapan soalan tadi.

" Qis pergi dulu ye..." dengan cepat aku ingin melangkah pergi meninggalkan lelaki ni. Mendebarkan sungguh! Entah kenapa ye...

" Aidi ikut Qis lah ye..."  Dzal Aidi membalas sambil mengekori aku dari belakang. Aku pula, sama laju langkah aku seperti tadi. Bagaikan mengejar waktu, tetapi sebenarnya aku tak selesa nak berjalan berdua dengan dia. Entah, hati ku tak tenteram. Cehwah!

" Mak ai! Lajunya jalan. Perlahan lah sikit "

Aku buat tak endah. Nak ikut sangatkan, silakan lah. Tapi, pelik. Entah kenapa ye aku tidak melarang dia untuk mengikut aku. Pelik ni!

" Eh, nak makan kat mana ni? " soalnya bila melihat aku terus menuju keluar dari shopping mall.

" Nun, kat warung depan tu. " ujar aku sambil menuding jari ke arah warung di seberang jalan sana. Dzal Aidi hanya mengangguk dan turut saja langkah aku.

Setibanya di sana, aku terus mencapai pinggan dan memilih lauk - lauk yang ingin di makan. Lalu aku duduk memilih meja yang berdekatan dengan kipas angin. Aku memang suka makan kat warung ni sebab masakan dia memang pedas - pedas belaka. Baru lah ngam dengan selera aku. Air minuman yang aku pesan pun dah sampai. Dzal Aidi duduk berhadapan dengan aku.

Alahai...ni yang aku lemah ni. Nak mengelak tak mampu. Macam mana aku nak menghadap muka dia ni? Duduk depan mata aku pulak tu. Hai, kacak pula dia pakai baju kemeja macam ni. Dzal Aidi menyinsing lengannya, bersedia untuk menjamu selera. Setelah sedia, aku pun menadah tangan untuk berdoa.

" Ohh, tunggu Aidi, nak doa ye..." tegur Dzal Aidi.

" Shhh...!"

Dzal Aidi terus menundukkan kepala sambil memberi isyarat agar aku meneruskan bacaan doa.
Setelah selesai membaca doa makan, kami pun menjamu selera di tengah hari itu. Kalau lah si Cha ni tahu aku makan dengan kawan dia ni, mahu menjerit makcik tu.

" Hmm...kenapa Qis jalan laju sangat tadi? Tak selesa ke jalan berdua dengan Aidi?" Dzal Aidi mula bersuara sambil mengunyah makanan.

Gulp! Tertelan sikit makanan aku kunyah ni. Apa aku nak jawab ni? Hah!

" Mama Qis cakap, tengah makan jangan bercakap. Diam. "

" Baiklah..." lembut suara Dzal Aidi menjawab sambil tersenyum. Aduhai...sweetnya. Manisnya...manisnya senyuman mu...mula dah, nyanyi lagu Elit.

Setelah selesai makan tengah hari. Aku mengelap tangan yang aku basuh dengan tisu.  Begitu juga Dzal Aidi. Dia memandang aku, tersenyum. Aku pelik. Kenapa?

" Kenapa jalan laju sangat tadi? Tak nak jalan berdua dengan Aidi ke? "

Eh, mak ai! Dia tak lupa soalan dia tadi.

" Eh, ingat lagi ea soalan tu? " aku senyum memberi jawapan.

Dzal Aidi mengangguk sambil menyedut air minumannya.

" Hmm...aah. Tak selesa. Tak biasa. " itu je jawapan yang boleh aku jawab. Nampak sangat ke aku tak selesa. Mahunya tak selesa, baru seminggu yang lepas je aku kenal kau ni. Dah nak berjalan berdua. Mati!

" Aidi bukannya nak makan Qis pun, kalau jalan berdua. "

" Bukan tu maksud Qis. Qis takut, buatnya makwe - makwe Aidi ternampak Qis jalan berdua dengan Aidi. Mahunya diorang datang serang Qis. Tak nak lah"

Dzal Aidi tersenyum. Entah apa maksud senyumannya itu, tak tahulah.

" Ala, diorang tak kan berani nak serang Qis. Qis kan, puteri Aidi"

Eh, pakcik ni! Jangan pakcik, jangan. Haishhh, nampak sangat kebuayaannya. Aku hanya senyum mencebik. Aku tahulah, kau nak pancing aku dengan ayat manis. Sorry ye, talk to my hand!

" Tadi tu...kenapa jalan sambil terkumat - kamit mulut tu? Membebelkan apa?" soalnya lagi sambil mengeluarkan sepuntung rokok dari kotaknya.

Aku lihat dan berfikir. Aku rasa semasa dia ikut belakang aku tadi, dia dah hisap sebatang dah rokok. Kuat merokok betul dia ni. Ishh, tak boleh jadi ni. Aku alah pada asap rokok. Kalau tak, sesak nafas aku.

"Boleh tak jangan hisap rokok lagi? Tadi kan dah hisap sebatang! " tegur aku serius.

Dzal Aidi memandang aku terdiam. Kemudian dia senyum lalu dia simpan semula rokoknya. Eh, baru aku tersedar. Siapa aku nak halang dia jangan hisap rokok? Aku bukan sesiapa pun. Melampau lah kau ni Qis. Ah, lantaklah. Yang penting aku tak sesak nafas.

" Eh, Qis tak jawab lagi soalan Aidi tanya tadi..." soalnya lagi. Matanya memandang aku. Aku terkedu.

"Err? Soalan apa?"

" Kenapa sambil jalan tadi mulutnya terkumat - kamit. Qis membebelkan apa?"

"Ohh...itu. Hmm...Qis sakit hati, menyampah! " balas ku. Eh, tak apa ke nak cerita ni?

Alamakkkk...mesti dia soal lagi lepas ni, kenapa, mengapa, siapa. Aduh...lurus betul aku ni. Macam mana lah aku boleh nak cerita dengan orang asing ni. Tapi, apa salahnya kan. Kawan Cha, kawan aku jugak. Suara di sudut hati aku yang lain pulak berkata.

" Sakit hati dengan siapa? "

Hah, kan? Betul jangkaan aku. Cerita je lah ye. Maka aku pun menceritakan apa yang berlaku sebelum aku keluar makan tadi. Aku tak cerita dengan terperinci la, tapi cukuplah aku cerita kan tentang Khairul, Tina dan ex- boyfriend aku tanpa aku sebutkan namanya. Tak suka! Benci nama tu!

" Ohh...siapa nama ex-boyfriend Qis tu?"

Eh, makin aku tak nak sebut makin dia tanya pulak. Leceh lah.

"Err...tak payah lah tahu." jawab aku malas. Muka pun aku tunjukkan bahawa aku malas nak sebut nama tu.

" Kenapa tak nak beritahu? Mana lah tahu, kot Aidi terjumpa ke terkenal ke, kan? "

" Kalau Aidi terkenal ke, terjumpa ke, nak buat apa je kat mamat tu?"

" Eh, Aidi nak ucapkan terima kasih kat dia lah. "

Aku pelik dengan jawapan dia. Aku pandang dia, berkelip mata aku dua kali.

"Kenapa pula?"

" Ucap terima kasih sebab tinggalkan Qis. Jadi, Aidi ada peluang dengan Qis." sambil tersenyum memandang aku. Aku berfikir sekejap. Dia ni, dah kenapa?

" Jangan mengada - ngada boleh tak? " balas aku. Okay tak ayat aku balas tu? Ke nampak sangat aku mula suka kat dia? Eh? Suka ke? Aduh! Bingung!

Dzal Aidi hanya ketawa kecil memandang aku yang mungkin dia boleh lihat dengan jelas bahawa aku sedang resah gelisah. Serba tak kena. Nampak sangat tak selesa berduaan makan bersama.

"Qis percaya pada cinta?" soalnya setelah diam selama dua minit.
Tetiba suara Dzal Aidi jadi serius.

" Hmm...percaya. Qis percaya pada cinta tapi Qis tak percaya pada lelaki. "jawab aku.

" Aik? Kenapa macam tu? Disebabkan ex - boyfriend yang dulu ke?"

"Aah...disebabkan dia, Qis semakin berhati - hati memilih pasangan. Disebabkan dia, Qis mengenal lelaki. Terima kasih lah, sebab dia dah kenalkan Qis siapa itu lelaki buaya"

Dzal Aidi tergelak kecil. Kemudian dia bersuara.

" Sekarang ni, mesti Qis tak percaya pada Aidi kan? Sebab Aidi ni buaya."

Hmm...buntu pulak aku nak jawab. Apa kena mengena dia dengan aku pulak? Bukannya aku cintakan dia pun. Tak semudah itu kot, aku nak jatuh cinta pada lelaki.

" Kenapa pulak tak percaya pada Aidi? Qis percaya yang Aidi ni memang buaya. "

Dzal Aidi tergelak besar. Salah ke apa aku cakap?

" Itu je yang Qis percaya? "

" Laa...nak percaya apa lagi? Kisah lalu Aidi? Qis percaya jugak kisah lalu Aidi yang Aidi ceritakan."

" Selain dari tu?"

Aku berfikir sejenak. Maksudnya? Ish, dia ni nak kena terangkan lebih jelas ni. Biar aku jelaskan. Kang salah faham pulak.

" Hmm...maksud Qis kalau hal Aidi, Qis memang percaya. Tapi kalau bab CINTA dari Aidi, Qis tak percaya. Faham?" Eh, kau biar betul Qis. Bukan ke ko nak cari cinta dari sang buaya? Inilah orangnya.

Dzal Aidi mengangguk tanda setuju dengan penerangan yang aku berikan.

" Qis masih cinta kan ex-boy Qis ke?"

Hah? Soalan dia ni, boleh mendatangkan marah aku je. Taklah!!! Tak! Nak saja aku jerit sekuat hati.

" Tak lah...tak ada maknanya cintakan dia lagi. Buang masa je. " jawab aku geram.

" Kalau begitu, kenapa Qis tak nak sebut langsung nama dia? Bukan sebab cinta tu masih berbuku di hati lagi?"

" Eh, ada ke macam tu. Tak nak sebut sebab benci nak sebut. Cuba kalau Qis tanya Aidi pulak. Siapa nama ex- wife Aidi? Aidi nak beritahu ke?"

" Aidi tak kisah pun...nama dia Qyla Makyla. Ok?"

Aku tergamam sekejap. Sedap namanya. Canggih gitu! Mesti cantik orangnya kan. Secantik nama.

" Kalau kita tak cinta kan dia lagi, kita sudah mampu lepaskan dia sepenuhnya. Past is past. Jadi, bila Qis tak mampu nak sebut nama dia. Bermakna Qis masih tak mampu lepaskan dia sepenuhnya. Sebab tu, nama dia pun Qis tak mahu sebut. Sebab apa? Sebab nanti jiwa Qis pun turut terganggu. Betul tak apa Aidi cakap ni? "

"Tapi..."
Aku terus berfikir sejenak. Ada betulnya kata - kata dia tu. Ish, tak mungkinlah aku masih cintakan dia lagi. Tapi, kita ada pendirian dan pendapat masing - masingkan. Tapi, banyak benarnya daripada kata - kata dia tu. Berapa banyak tapilah...

" Yelah, Qis faham. Qis tak cinta kan dia lagilah. Nama dia Razman. Puas hati?"jawab aku. Pandai betul dia pancing aku supaya jawab pertanyaan dia.

" Kan akhirnya dia jawab jugak! " Dzal Aidi gelak besar mentertawakan aku.

Hampeh punya buaya! Aku turut tersengih sama bila terkena dengan helah dia. Aku ingin menampar lengan dia. Nasib baik sempat mengelak. Tangan aku ni, memang cepat betul kalau nak memukul orang. Automatik naik tangan.

" Qis...Qis..."Dzal Aidi menggeleng kepala melihat kelurusan aku dalam menjawab soalan.

Telefon aku pula tiba - tiba berdering. Aku lihat nombor yang tertera. Tidak aku kenal. Siapa pulak yang call aku ni. Lalu aku jawab panggilan itu. Dzal Aidi hanya memandang saja. Sekadar pemerhati.

" Hello..."

" Hai ayang..."

Hah? Macam mana dia dapat nombor aku ni? Ya Allah...sakitnya hati aku ni. Makhluk mana pulak yang beri nombor baru aku ni pada Razman.

" Ayang...kenapa diam? Terperanjat?"

" Mana dapat nombor ni? " suara aku keraskan. Tegas namanya.

" Adalah. Itu tak penting. Yang penting sekarang ni, abang nak tanya. Ayang sihat? Dah makan?"

Sakitnya hati aku ni. Dia buat seolah - olah macam tak ada apa yang berlaku antara aku dan dia. Gila apa dia ni? Psiko?

" Tak payahlah semua soalan tu. Awak tak faham ke antara kita tak ada apa - apa lagi. TAK ADA! FAHAM?"

" Janganlah marah - marah. Mesti comel kan bila ayang marah - marah macam ni. Abang rindu ayang lah. Rindu sangat..."

Eeiii! Geramnya aku. Sakit hati aku lah. Benci lah! Meluat!

" Awak ni...tak faham bahasa ke apa? Saya tak faham lah. Awak nak apa lagi sebenarnya? "

" Abang nak ayang lah...abang cinta kan ayang. Sungguh..."

" Dah lah. Saya tak kuasa nak layan awak. Saya nak pergi kerja. Bye! "

Klik!

Panggilan aku tamatkan. Begitu juga telefon bimbitku, aku matikan. Biar dia tak dapat hubungi aku lagi. Kan aku dah kata tak nak sebut nama dia. Kan? Tengok sekarang? Dah muncul dah. Aku memandang Dzal Aidi. Dzal Aidi mengangkat keningnya, bertanyakan siapa. Aku masam kan saja muka aku. Malas nak jawab. Dzal Aidi hanya tersenyum, entah dia faham ke tak sebenarnya.

"Razman ke?"soal dia. Eh, faham lah pulak pakcik ni. Bagus.

Aku mengangguk lemah. Sekarang ni, otak aku ligat berfikir. Siapa yang berani beri nombor  baru aku ni pada Razman?

" Hmm...kenapa tak beri pada Aidi je tadi? Biar Aidi yang jawabkan. "

" Kenapa pulak? " aku pelik. Lagi pun, bukan aku ingat nombor dia tadi tu. Kalau aku tahu dia, aku tak jawab langsung.

" Yelah, biar Aidi jawab. Ni kekasih baru Qis. Barulah dia tak ganggu Qis lagi, kan."

Eh, banyaklah punya kekasih baru. Dia ni kenapa? Ada niat lain ke memang niat nak menolong je?

" Eh, tak apa lah. Qis tak nak libatkan orang lain dalam hal Qis. Biar Qis setelkan sendiri"

" Cuba jangan melawan cakap orang tua. Boleh? "

Eh, dia pulak yang warning aku. Memang dia lagi tua pun dari aku. Aku hanya diam memandang dia tak berkelip. Sekali ku pandang dia ni, kacak! Dua kali ku pandang dia ni, aduh! Boleh jatuh hati. Memang patut pun, orang perempuan mudah cair dengan dia ni.

" Lain kali, kalau Aidi ada dengan Qis. Biar Aidi yang jawab. Biar dia tahu Qis ada pengganti. Selagi dia tahu Qis masih solo, selagi tu dia mendambakan cinta Qis. Lelaki ni, bahaya Qis. Itu yang Aidi risaukan. Faham...?" lembut saja pertuturannya menasihati aku. Berbeza sungguh cara percakapan dia kalau dibandingkan dengan Razman. Jauh bezanya. Aku terpaku sebentar.

" Hmm...ye la... Baiklah..."

Aku mengiyakan saja. Senang cerita. Tapi dalam hati aku ni, tertanya - tanya. Boleh ke minta bantuan dia buat macam tu? Tapi, kenapa dia nak tolong aku macam tu pulak? Bukannya dia kekasih aku yang betul pun. Kalau kantoi dek Razman, lagi lah si Razman tu memperlekeh - lekehkan aku je. Aku ni, dah lah bodoh kalau bab - bab nak menipu, berlakon, berpura - pura ni. Memang failed! Razman tu pulak, bersepah dia punya kaki. Bukan kaki dia bersepah. Maksud aku, bersepah kawan - kawan dia tu. Senang - senang je boleh kantoi. Tengok apa jadi dengan nombor aku ni.

" Dah lah Qis...jangan risau ye. Aidi ada. Apa - apa hal, call saja Aidi. "

Aku mengangguk saja. Call dia? Nombor pun tak ada, nak call apa? Tak apa, iya kan saja. Eh, kenapa aku jadi burung belatuk ni. Angguk, ya, angguk, ya. Qis, Qis...ko ni, dah cair ke...jangan Qis...jangan...control perasaan.

" Mari...Aidi hantar Qis ke tempat kerja Qis semula...dah lama sangat ni kita rehat, kan?"

Aah, ya Allah. Baru aku teringat. Mati aku macam ni. Marah orang lain yang nak rehat, aku pulak tak balik - balik. Tapi, eh? Dia nak hantar?

" Nak hantar naik apa?" soal aku.

" Laa...jalan kaki la. Kan tadi kita datang sini jalan kaki je. Kenapa? Nak Aidi dukung Qis?"

Ya Allah! Malunya! Aku rasa nak lari 100 meter pecut terus sekarang ni. Aku terus tergelak sambil berjalan laju ke kaunter bayaran. Namun, dengan pantas Dzal Aidi menghalang aku membayar. Hari ni, dia yang belanja makan. Aku tersenyum lagi teringat bagaimana aku boleh lupa yang aku berjalan kaki saja datang ke warung ni. Apa yang ko berangan ni makcik? Berangan naik kereta dengan Dzal Aidi ke? Dzal Aidi memandang aku senyum. Mesti dia fikir aku ni lawak. Aduh! Spoilt!

Aku berjalan laju meninggalkan Dzal Aidi di belakang. Namun, dengan pantas dia berlari macho mengejar aku berjalan seiringan dengan aku. Dia membuka topik bisnes pula kali ni. Aku sangat suka topik ni. Kami berborak rancak sambil berjalan pulang.  Aku agak kagum dengan info terkini yang dia tahu tentang bisnes. Tapi, dalam kepala otak aku ligat berfikir. Siapa yang beri nombor telefon aku pada Razman? Mungkin kah Khairul? Tak mungkin, sebab Khairul pun tak tahu nombor baru aku. Mungkin Tina, makwe gedik dia yang beritahu Khairul? Tapi, tak mungkin jugak. Sebab Tina pun tak pernah tanya nombor telefon aku apatah lagi aku sendiri yang berikan pada dia kan. Untuk apa je beri pada dia. Habis tu, siapa lagi?

Akhirnya, sampai juga aku di tempat kerja. Tapi, aku tak benarkan Dzal Aidi menghantar aku hingga ke pintu kedai buku tu. Malulah orang tengok. Bukan kekasih aku pun, nak aku tayang - tayangkan. Nanti sibuk kawan - kawan sekerja aku ni tanya siapa tu. Lebih - lebih lagi si gedik tu. Dah lah 'hensem' Dzal Aidi ni.  Kalau aku jadi bini dia, aku simpan dia ketat - ketat. Hahaha, fikir jauh nampaknya ko ni. Dah lah Qis. Lebih baik ko fikir siapa yang beri nombor telefon baru ko pada Razman ni dan apa langkah ko nak buat selepas ni. Itu lebih baik.Tanpa aku sedar, saat ni ada mata yang memandang aku dari jauh. Mata yang memandang dengan penuh hasad dengki dan sakit hati.

***Bersambung***

0 comments on "Aku Ni Isteri Dia! -Bab 5"

Post a Comment

Semua Readers Novel Deheartygurl yang dikasihi...sila lah komen ye...

 

DeHearty Gurl Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal